Photobucket - Video and Image Hosting
We undertake to perform the Wayang Kulit (Puppet Shadow Play) & Seni Silat (Malay Martial Art) at any function & anywhere with prior arrangement. Language of performance: Malay or English. For enquires please contact: Task Global Sdn. Bhd (Miss Ili Hana 012 2222 676)
Free Web Layouts

Monday, May 26, 2008

ADILI SEGERA KARPAL SINGH

Artikel ini tersiar dalam Ruangan Forum @ Utusan Malaysia
bertarikh 8 Mei 2008

SAYA membaca kenyataan Karpal Singh di dalam akhbar-akhbar tempatan yang mempertikaikan keputusan Tuanku Sultan Perak di dalam kes yang melibatkan pertukaran Datuk Jamry Sury Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, dan kemudiannya mempersoalkan titah SPB Yang DiPertuan Agong, dengan rasa yang amat kesal dan marah. Beliau mengingatkan istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja dan dilaporkan berkata “ rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal.” Bagi saya perkataan sebegini merupakan tindakan memperlekeh-lekehkan kewibawaan Tuanku dan istana. Karpal Singh dilaporkan menambah lagi bahawa “Sultan Perak sendiri pernah jadi ketua Hakim Negara, takkan tidak sedar kes ini.” Ini lagi satu perbuatan yang memperkecilkan kebijaksaan dan kearifan Tuanku Sultan. Saya berasa sangat terluka dengan kenyataan Karpal Singh ini. Karpal Singh dilapor menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak sepatutnya dipengaruhi istana, dan “Arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang…” Karpal Singh melalui kenyataan ini telah menyalahkan Tuanku Sultan Perak di dalam hal ini dan secara langsung menganggap bahawa titah Baginda itu tidak mengikut undang-undang.
Tuanku Sultan adalah berkuasa langsung dalam hal-hal agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam.
Dalam kenyataan peguam Dato’ Mohd Shafie Abdullah (Utusan Malaysia, 7 Mei 2008) beliau dilaporkan telah berkata bahawa tindakan di bawah Akta Hasutan boleh diambil ke atas Karpal Singh sekiranya ramai orang Melayu dan pemimpinnya terluka dan marah dengan kenyataan Karpal Singh itu.
Saya mendapati ramai pemimpin-pemimpin Melayu dan juga orang-orang Melayu melalui media dan juga perbincangan persendirian telah menyuarakan perasaan ketidaksenangan, terluka dan marah terhadap kenyataan Karpal Singh tersebut.
Berpandukan kenyataan Dato’ Mohd Shafie itu dan juga kenyataannya yang menyatakan bahawa “bagaimanapun perkara ini terserah kepada peguam Negara dan jika beliau berpendadapat, kenyataan Karpal itu mengandungi unsur hasutan, beliau boleh didakwa.” Maka saya menyarankan supaya pihak-pihak yang berkewajipan di dalam menegakkan keadilan di negara ini dengan segera mengambil tindakan yang sewajarnya, demi untuk mengelak daripada api kemarahan tersebar lebih luas. Sekiranya Karpal Singh telah melanggar Undang-Undang dan Perlembagaan Negara, maka beliau patut dihakimi dengan segera. Tiada siapa pun terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan.
Karpal Singh juga dilaporkan telah menimbulkan soalan tentang siapa yang menyediakan titah ucapan Diraja SPB Yang DiPertuan Agong. Karpal Singh telah mempertikai kewibawaan SPB Yang DiPertuan Agong dan institusi raja apabila beliau menimbulkan soalan sebegitu. Apabila Tuanku melafazkan titah maka itulah yang ingin dititahkan oleh Baginda, dan rakyat tidak perlu menyoal siapa yang menyediakan titah itu. Apabila Karpal Singh menyoal seperti itu maka dengan jelas beliau mempersoal keupayaan Tuanku untuk berfikir sendiri. Ini dalam fikiran saya, adalah satu perbuatan merendahkan kedaulatan dan martabat Tuanku.
Kalau kita hanya heboh-heboh sahaja dalam media tentang sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, perlembagaan atau tata-susila, tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan yang konkrit, maka rakyat mungkin akan hilang kepercayaan kepada keupayaan pihak-pihak yang berkuasa yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk membendung perkara-perkara yang boleh mendatangkan musibah dan keamanan negara.

DATO’ PROFESOR DR. HASHIM YAACOB
Tanah Merah, Kelantan.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Saya setuju dengan komen yang diberikan. Kita semua sepatutnya sedar dan bertindak.

Minta tolong maklumkan bagaimana saya boleh hubungi Y. Bhg. Dato'.

Terima kasih.

Wed Sep 17, 09:40:00 AM  

Post a Comment

<< Home