Photobucket - Video and Image Hosting
We undertake to perform the Wayang Kulit (Puppet Shadow Play) & Seni Silat (Malay Martial Art) at any function & anywhere with prior arrangement. Language of performance: Malay or English. For enquires please contact: Task Global Sdn. Bhd (Miss Ili Hana 012 2222 676)
Free Web Layouts

Monday, February 12, 2007

KATA dalam RUPA DAN GAYA: BUSANA MELAYU


Bicara buku:













Hashim Yaacob memperkatakan:

KATA
Dalam
RUPA DAN GAYA: BUSANA MELAYU
Penerbit UKM,
Bangi, 2006

Karangan
AZAH AZIZ,

Anjuran Jabatan Pengajian Media
Universiti Malaya
Dan
Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia
8 Februari 2007

Azah Aziz menyatakan, “bahawa orang Melayu begitu terpesona, terharu dan kagum terhadap unsur-unsur alam dengan segala hikmah, rahsia, khazanah dan kias-ibaratnya, jelas terpancar dalam bentuk dan rupa, corak dan warna serta kata-kata yang lahir dalam segala bidang ciptaannya – sepertilah ia terpancar dan abadi dalam puisi agung Melayu, yakni pantun.

Awan berarak yang dihembus pawana menderu di angkasa biru. Ombak menghempas yang bergema di pantai sunyi yang lumat pasirnya. Sungai mengalir yang membelah belantara tebal, hijau dan gelap dengan sekalian penghuninya. Bulan mengambang tinggi yang sayup cahayanya di langit cerah dinihari. Dan bintang bertaburan yang mengerdip nun jauh di langit malam yang legam...

Semua itu menyentuh kehalusan cita rasa orang Melayu zaman lampau yang hidupnya begitu berdampingan, mesra dan berdamaian dengan alam yang dicintainya, yang olehnya disebut sebagai ‘tanah airnya’. Bolehlah disimpulkan bahawa orang Melayu adalah suatu bangsa yang berbudaya cinta pada keagungan dan keindahan semulajadi.

Maka tercetuslah kreativiti dan lahirlah aneka ciptaan indah, termasuk dalam bidang busana dan tekstil yang mencapai mercu kecemerlangan yang sukar ditandingi. Sebilangan ciptaan itu diberikan nama yang begitu puitis pula seolah-olah sebagai persembahan penuh takzim dan tawaduk kepada-Nya yang Maha Esa, Maha Kreatif dan Maha Mengetahui.”

Kata Azah Aziz, beliau mempelajari busana Melayu melalui “perbincangan saya dengan orang tua-tua, yang serba arif lagi bijaksana dan kaya dengan ilmu dan pengalaman dalam bidang masing-masing. Ia juga termasuk hasil rujukan kepada sastera klasik Melayu, istimewanya hikayat, syair, pantun, gurindam, ungkapan, risalah dan makalah menjadi bacaan kegemaran beliau. Tidak ketinggalan juga pelbagai buku rujukan lain mengenai tekstil dan busana umumnya, termasuk kamus-kamus lama.

Sebahagian yang lain pula adalah dari ingatan serta pengalaman yang telah saya lalui dari zaman kanak-kanak dan remaja hingga membawa ke usia lanjut hari ini – kenangan yang kadangkala sayup-sayup, kadangkala begitu rancak dan segar dalam memori yang tidak dapat dilupakan.”

Kata Azah Aziz lagi, “daripada ibu, Azizah Jaafar, seorang ibu tunggal yang boleh disifatkan sebagai seorang nasionalis dan patriot Melayu, saya mula-mula mempelajari tentang busana dan tekstil yang menjadi pakaian orang Melayu Johor, wanita dan lelaki, termasuklah baju kurung Teluk Belanga yang masyhur itu kerana pengaruh ibulah jua maka saya kagum dan terpesona dengan pantun, gurindam dan persuratan Melayu”. Keluarga terdekat seperti suami, anak, menantu dan cucu-cucu memberi galakan dan sokongan, komen dan buah fikiran yang amat beliau hargai.

Daripada ilham ibunya dan keluarga terdekat, maka lahirlah buku “Rupa & Gaya: Busana Melayu”.







Azah Aziz sudah pun lama maklum mengenai Hadith yang tertera pada permulaan bukunya yang berbunyi: “Allah itu Maha Indah dan Suka akan Keindahan.”
Maka dengan cermat dan keprihatinan, Azah Aziz telah menggembelingkan tenaga memanggil ke hadapannya, segala pengalaman dan bahan miliknya yang berkaitan dengan warisan Melayu yang telah dikumpulnya selama 50 tahun, bagi mendokumentasikan segala yang indah-indah itu ke dalam buku Rupa & Gaya: Busana Melayu.

Azah Aziz mengabadikan bukunya itu kepada ibunya dengan kata-kata, “Kepada Ibu Azizah Jaafar yang sentiasa dalam kenangan.” Walaupun ayat ini ringkas, pada hakikatnya ia sangatlah indah kerana tiada kata lain secantik bahasa bagi Azah Aziz meluahkan rasa kasih sayang yang abadi terhadap ibunya.

Terdapat banyak kata-kata nan indah dalam buku ini, yang indah tetapi tidak selalu digunakan orang di zaman ini. Di antaranya ialah kata-kata yang menyebut bahawa “Hidup orang Melayu dikelilingi warna yang mengerna. Kampung halamannya selalu menghijau dan bila tiba musim, sawah ladangnya menguning bagai emas baru ditinting. Dusunnya redup, pohonnya rimbun, bunganya harum, buahnya ranum aneka rona”. Kata-kata ini ditimbal lagi oleh ungkapan tradisional yang berbunyi:-

“Apa tanda hari dah senja?
Awan ungu arak-berarak,
Ungu bercampur dengan merah,
Bagai emas dengan suasa,
Bagai besi sedang ditempa,
Matahari mengetam turun.”

Setelah mengamati kata-kata yang indah yang terdapat dalam buku ini, maka saya memilih untuk memperkatakan kata-kata yang terdapat di dalam buku yang berharga ini. Saya merasa sangat bahagia untuk berkongsi pendapat dengan saudara dalam jurusan ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi memberi saya peluang keemasan ini.

Buku ini memperkenalkan kita kepada berbagai-bagai jenis kain atau tekstil warisan Melayu. Betapa halus dan indahnya, sehingga diungkap orang, bahawa kain-kain ini mempunyai sifat berikut:-

“Dikembang selebar alam, dilipat selebar kuku”

“Kadangkala ketara kelihatan, kadangkala lenyap daripada pandangan”

“Sebagai air mengalir, apabila direndam di dalam sungai, kelihatanlah seperti riak-riak di dalam air”

“Seolah melayang dan terapung di udara seperti awan”

“Kalau diampai bertambah basah, kalau direndam bertambah kering”

Cantik dan elok nian kain-kain ini, maka saya mengajak saudara bersegera menjamu mata:

Ini kain songket limar, yang terindah ciptaan tangan manusia. Azah Aziz mencipta pantun menghayatinya:-

“Songket limar awannya cemerlang,
Pakaian raja zaman dahulu;
Tuan laksana bulan mengambang,
Cahaya menusuk ke dalam kalbu.”

Kain songket sutera dua warna, corak Teluk Berantai, Terengganu, sekitar 1940. Himpunan Muzium Seni Asia Universiti Malaya.






Kain songket sutera dan benang emas yang klasik ini berkepala pucuk rebung lawi ayam.
Badan kain bercorak teluk berantai dan tepinya berhias bunga serung permata.













Ini songket Bunga Tabur, diiringi pantun:-

“Orang Sarawak menenun songket,
Songket ditenun bertabur bunga;
Tengah malam bulan terbit,
Bintang sebiji membawa cahaya.”

Kain Limar sutera yang diwarnakan dengan kesumba, indah sungguh rupanya. Siapa yang memandang tentu terjerat.
“Kalau sehari selembar benang,
Lama-lama menjadi kain;
Sehari-hari saya terkenang,
Ingatan tidak pada yang lain.”

Kain Cindai yang amat indah lagi masyhur di serata dunia, dengan pantun:-

“Berlayar kapal bertimbang arus,
Patah kemudi sepanjang pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Alah membeli menang dipakai.”

Ini kain punca potong dari Kelantan, atau disebut juga kain sayap perkaka, digubah menyerupai seekor burung perkaka dengan warna yang mengerna.


“Bangau perahu lehernya jinjang,
Ukiran awan berbunga-bunga;
Punca potong nama kain panjang,
Sayap perkaka aneka rona.”
Kain pelangi benang kapas.
“Kain dicelup akan kesumba,
Direndam lama jadi pelangi;
Tuan dipeluk lalu diriba,
Puaslah dendam selama ini.”


Membaca buku ini, kita akan ketemui kain-kain yang barangkali kita tidak pernah mengenali, walaupun kita memakainya. Kain-kain ini termasuklah:-

Kain songket limar, Songket, Limar, Cindai, Kelingkan, Telepuk, Gerus, Berkampuh, Rami, Sakhlat, Beldu, Geramsut, Cintamani (Sanskrit) = Serasah (Melayu), Kasuri, Pelangi, Baldu, Antelas, Batik (kotak, Kedah, Indonesia), Mastuli, Bugis, Samarenda, Madukara, Misrun, Pelekat, Punca Potong.

Kita juga akan terserempak dengan beberapa ungkapan seperti:

Kain baju,
Kain basahan,
Kain basah kering dipinggang,
Kain tak cukup sebelit,
Kain sehelai berganti-ganti,
Kain jadi basahan,
Kain tiga hasta,
Menjaga tepi kain orang,
Kain tak bertepi.

Azah Aziz menekankan betapa peri wajibnya bagi ungkapan “kain baju”, perkataan ‘kain’ itu mesti didahulukan. Tetapi beliau tidak memberi sebabnya. Ini membuat kita berfikir kenapa? Fikir saya sebagai lelaki, ialah kerana kain itu lebih penting berbanding dengan baju, kerana dengan memakai kain walaupun tanpa baju, seseorang lelaki masih lagi boleh berjalan ke hulu ke hilir dan ke sana ke mari dan menjalankan kerjanya. Kalau tidak percaya, lihat saja lah pada gambar ini yang terdapat di dalam buku Rupa & Gaya Busana Melayu.

Apabila disebut “menjaga tepi kain orang”, apakah yang sebenarnya kita maksudkan? Dimanakah letaknya tepi kain itu? Buku ini menghuraikannya dengan baik; sesehelai kain yang sempurna, dibuat oleh tukang yang berdisiplin, mesti membuat kainnya berbadan, berkepala, berpengapit kepala, dan bertepi.

Gambar ini ialah sehelai kain songket yang menunjukkan bahagian-bahagian kain:
Kepala kain: Awan corak awan pucuk rebung.
Badan kain: Awan corak bunga tabur pecah lapan
Pengapit kepala kain: di kiri dan kanan kepala kain.
Tepi kain: bahagian sempit di bahagian bawah dan atas kain.

Kita pun ingin bertanya: kalau dengan “menjaga tepi kain orang” yang kecil itu selalunya boleh mendatangkan mudarat, apatah yang akan terjadi kalau orang “menjaga kepala atau badan kain orang”?

Ketinggian nilai dan harga sesuatu kain baju boleh dibayangkan melalui puisi gubahan Azah Aziz:


“Kalau ya selasih dandi,
Cendawan tumbuh di atas pintu;
Kalau ya kasihkan kami,
Guntingkan awan sehelai baju.”

dan:

“Rumah besar digoncang bayu,
Atap ijuk dindingnya papan;
Tuan umpama kain baju,
Tidaklah luput dari badan.”

Kata Puan Azah Aziz lagi,

“Cindai ialah nama bagi tekstil yang amat indah lagi masyhur di serata dunia kerana ia ditenun dengan teknik ikat ganda atau double ikat dalam Bahasa Inggeris – suatu teknik yang sangat unik dan sukar dilaksanakan.

Amatlah menarik bahawa sejak sedemikian lama, telah digunakan suatu istilah dari Bahasa Melayu, iaitu ikat bagi memperkatakan teknik yang digunakan untuk mencipta corak tekstil ini. Istilah ikat ini, lumrah digunakan dalam buku-buku Bahasa Inggeris yang bukan sahaja menggunakan perkataan ikat – tetapi “ikatted” dan “ikatting”

Pinjam meminjam perkataan antara bangsa, rupa-rupanya sering berlaku. Begitu juga barangkali dengan perkataan “WAU”.
[Bila sampai di sini pembentang kertas kerja menceritakan kisah “WAU” dan “KITE”, tanpa skrip.]

Hiasan dan alatan tubuh badan adalah sebahagian daripada busana bagi menyerikan lagi pakaian. Hiasan dan alatan ini terdiri daripada emas, perak, suasa yang bertatahkan pula ratna mutu manikam. Walaupun hanya jauhari yang mengenal manikam, tetapi pengarangnya merasakan amat penting bagi seseorang mengenali hiasan dan alatan ini dengan betul, supaya mengelak daripada ditimpa bencana lantaran kejahilan. Azah Aziz lalu menggarap sebuah pantun mengenai hal ini:-
“Gunung Serayu sayup dipandang,
Nampak dari Selat Melaka;
Hilanglah mutu emas ditimbang,
Kalau intan disangka kaca.”
Tetapi dalam kiraan saya, bencana yang lebih besar akan menimpa kita sekiranya pantun ini diubah sedikit rangkap akhirnya supaya berbunyi begini:-
“Gunung Serayu sayup dipandang,
Nampak dari Kuala Semantan;
Hilanglah mutu emas ditimbang,
Kalau kaca disangka intan.”

Apakah nama sebentuk cincin di jari telunjuk itu, yang terikat sebutir permata dikelilingi oleh sekumpulan berlian dalam satu bentuk yang bulat bagaikan bulan dipagar bintang?

Azah Aziz menyifatkan cincin seperti itu sebagai kunang-kunang yang berkelip di malam gelita, mewariskan cahayanya yang seketika – “kunang-kunang sekebun” namanya, atau “melur seceper”.

Cincin di jari hantu, jari manis dan jari kelingking itu ada nama yang indah juga, semuanya telah termaktub dalam Rupa & Gaya Busana Melayu. Bacalah.

Apabila dipadankan sebahagian kain-kain yang telah dibincangkan tadi kepada badan, maka inilah kemungkinan yang kita akan dapati. Betapa cantik dan manisnya perawan ini berbaju kurung songket bertabur, dengan kelubung berlainan warna, dihias pula kalung di dada.

Inilah Cik Siti Wan Kembang, Raja Kelantan dahulu kala, dengan persalinan gemilangnya.

Bagaimanakah kita hendak memerikan perihal kecantikan tuan empunya badan dan persalinannya ini? Kita perlu terlebih dahulu mengenali nama-nama juzuk busananya.

Azah Aziz memerikannya dengan secantik bahasa sedemikian:-

























Demikian dan benarlah, bahawa
“yang merah itu saga, yang indah itu bahasa”

Bagaimana pula memerikan perihal persalinan Raja Melayu zaman dahulu kala yang sesajak dan seranggi ini?

Azah Aziz memerikannya dengan seindah kata:-
Mempelai dua sejoli yang sedang mabuk asmara ini tampaknya segak dan kacak, santun dan anggun lagi lawa.

Azah Aziz memerikan mereka seelok bicara:-
Tadi saya menyebut perkataan sajak, ranggi, segak, kacak, santun, anggun dan lawa. Makna setiapnya boleh didapati pada muka surat 187 buku Rupa & Gaya Busana Melayu. Tetapi secara ringkasnya, kesemua kata-kata sifat itu boleh digunakan ke atas dua orang negarawan ini, yang tersangat besar jasa kepada kita.
Dato’ Onn Ja’afar (1895-1962) berbaju kurung Teluk Belanga dan berseluar Cina dengan kain dagang luar corak Muar, isterinya Datin Halimah berbaju kurung sedondon.

Tengkolok atau setangan menjadi pakaian kepada busana lelaki Melayu. Buku ini menghuraikannya dengan amat baik. Tengkolok diberi nama yang tersangat indah dan mengasyikkan mengikut rupa dan bentuk ikatannya. Umpamanya ialah:-
Dendam Tak sudah, Helang Menyusur Angin, Bugis Tak Balik, Kuntum Tak Jadi.
Sebahagian yang lainnya ialah:
Singa Menoleh, Ayam Patah Kepak, Getam Perkasam, Belah Mumbang, Tebing Runtuh, Anak Gajah Menyusu, Daun Sehelai, Bunga Sekaki, Sri Bulan, Bulan Mengambang, Ikal Mayang.
Tengkolok yang soleknya diberi nama Dendam Tak Sudah adalah pakaian Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.




Tengkolok yang soleknya diberi nama Helang Menyusur Angin sangat dimengerti Azah Aziz betapa bagaimana nama sebegitu diberikan kepada tengkolok itu. Sewaktu masih muda belia, Azah Aziz sering mengunjungi pantai berhampiran rumah keluarganya di Morib. Beliau terpegun melihat kehebatan helang berlegar di udara menyusur angin, dan kemudiannya menjunam turun ke paras laut menyambar ikan. Pergerakan helang melayang turun inilah yang telah mengilhamkan pandai tengkolok, menamakan tengkolok sebegiturupa sebagai ‘Helang Menyusur Angin’.

Tengkolok yang soleknya diberi nama Sri Lancang pula, di dendangkan kehebatan bentuk dan rupanya dalam bahasa puitis yang membawa cerminan alam samudera:
“Bagai perahu mengambang laut,
Layar terkembang angin turutan,
Riak menjadi benang emas,
Awan menjadi tabur telepuk,
Puncak melambai-lambai angin,
Lapis-berlapis bagai papan.”

Konsep perkasawan dalam budaya Melayu serta kehebatan busananya terbayang dalam gurindam berikut yang ditulis oleh ibu Azizah Jaafar dalam tahun 1961:

“Hulubalang Melayu berpakaian purba,
Baju pendek berbelah dada,
Seluar sampak separas lutut,
Tengkolok hitam sulur bayung,
Kain dipakai panjang tujuh,
Bengkung kuning kunyit sebuku,
Keris berlok tersisip di pinggang,
Gagah orangnya sehebat rupanya,
Sopan santun gaya Melayu,
Semut dipijak tidak mati,
Gajah diharung bergelimpangan,
Itulah sifat hulubalang sejati.
Sebagaimana yang telah disebut, wanita juga turut memakai alat senjata bagi mempertahankan diri. Cucuk sanggul atau pacak sanggul juga boleh digunakan untuk menikam. Di antara alat senjata yang digunakan oleh wanita ialah badik iaitu sejenis senjata pendek Melayu. Badik berbentuk sederhana dan lebih berupa sebilah pisau dan jenis yang digunakan oleh wanita biasanya lebih kecil, tidak lebih daripada sejengkal panjangnya. Badik ini biasanya diselit pada gelang di dalam lengan baju supaya tersembunyi ataupun diselit di pinggang seperti yang dapat dilihat dalam busana perwara ini.

Ini adalah busana seorang perwara yang mengiring permaisuri Kelantan, sekitar tahun 1900. perwara ini memakai kebaya labuh, ikat pinggang kain limar dan sebilah badik di pinggang. Tudung kepalanya ialah kain batik lepas Kelantan.

Ramai orang yang akan merasa gugup untuk berdepan dengan perwara sebegini rupa. Sukar bagi saya untuk memahami lelaki yang ingin mencari gaduh dengannya.

Buku “Rupa & Gaya Busana Melayu” menyatakan bahawa,
“Dalam estetika budaya melayu, rambut yang cantik ialah rambut yang panjang, lebat dan berkilat, dan hitam seperti arang, laksana “dakwat tumpah”.

Rambut yang berketak-ketak, berombak-ombak atau kerinting juga dianggap cantik. Maka lahirlah ungkapan, “mayang mengurai”, “ikal mayang” dan “mayang mekar”. Ertinya rambut yang kerinting dan panjang itu ibarat mayang yang mekar, yang terhurai lebat atau menyembur segar seperti yang kelihatan di pohon palma.








Berperi Azah Aziz mengenai rambut mayang mengurai:
Berderai terung rembang,
Dipungut dibahagi-bahagi,
Terhurai rambut dayang,
Bagai mayang menyembur pagi.
Rambut yang panjang mengurai elok juga kalau disanggul. Berbanding dengan sanggul-sanggul yang lain, yang sangat permai dan sukar ditandingi kecantikan dan kesantunannya ialah Sanggul Lintang. Di sanggul lintang di atas kepala pengantin perempuan, misalnya, tersunting puluhan “bunga ketar” atau “bunga goyang” atau “gerak gempa”, yang seperti namanya, bergoyang-goyang membuat permatanya mengerdip laksana seribu bintang.

Menurut Ibu Azizah Jaafar, setiap sanggul lintang itu ada namanya, umpamanya ialah:
“Ayam Mengeram”, dan “Lebah Bergantung”.
Nama-nama bahagian sanggul ini membuat saya menggigil dan merasa seram sejuk. Apa tidaknya, ayam mengeram dan lebah bergantung kalau diusik pasti padah akibatnya.

Tetapi apa pun, sanggul yang indah diminati orang. Perhatikan serangkap pantun yang terdapat dalam buku ini yang menarik perhatian kepada kecantikan rambut panjang yang disanggul:-

“Sakit kaki ditikam tunggul,
Tunggul kecil di tengah huma;
Sakit hati memandang tunggul,
Sanggul kecil berisi bunga.”

Saya amat maklum bahawa perkataan sakit hati disini membawa makna “dendam” atau “cemburu” atau “rindu”.

Saujana kita telah mengembarakata, akhirnya sampailah kita kepada kemuncak indah kata. Perhatikan pada serangkap pantun yang ditulis pengarang buku Azah Aziz yang berikut:

“Melepuh kakiku terkena tunggul,
Tunggul besar di tengah padang;
Gelusuh hatiku melihat sanggul,
Sanggul besar berbunga goyang.”

Pada kebiasaannya, orang mencipta pantun yang mempunyai rima di hujung rangkapnya sahaja. Contohnya ‘tunggul’ dengan ‘sanggul’, dan ‘padang’ dengan ‘goyang’. Pantun sebegini adalah pantun yang cemerlang penciptaannya.

Ada pula yang mencipta pantun yang mempunyai rima tambahan dipermulaan rangkap. contohnya ‘melepuh’ dengan ‘gelusuh’, dan ‘tunggul’ dengan ‘sanggul’. Pantun sebegini adalah pantun yang gemilang penciptaannya.

Azah Aziz menggubah pantun dengan menambahkan lagi rimanya di tengah rangkap. contohnya ‘kakiku’ dengan ‘hatiku’, dan ‘besar’ dengan ‘besar’. Maka jadilah pantun gubahannya itu berima pada pangkal, pada pertengahan dan pada penghujung rangkap-rangkapnya.
Pantun sebegini adalah yang terbilang darjatnya. Kita semua sepatutnya mencipta pantun sebegini sifatnya.

Ingatkah saudara pada gambar ini lagi? Ini ialah seorang perkasawan Kelantan sekitar tahun 1887. beliau memakai baju lengan sekerat, berleher bulat, butangnya tiga, dua helai kain punca potong:- satu dipinggang, satu lagi dijadikan bengkung, tempat menyelit sebilah keris. Kain yang ketiga iaitu kain lepas pelangi dibelit pada dada. Kepalanya diikat setangan isih. Azah Aziz menyatakan, kain lepas pelangi ini boleh digunakan untuk menepis serangan keris dan menggelutnya, dan dengan demikian melindungi pemakainya dari bahaya.

Gambar ini menunjukan seorang perkasawan menebarkan kain lepas pelanginya bagi menepis serangan.
Tetapi ada satu lagi kegunaan kain lepas ini, iaitu untk menyerang musuh secara batin. Apabila hendak menyerang musuh, beliau tebarkan kain lepasnya kearah musuh, selepas dibacanya jampi serapah yang sebahagian kecilnya berbunyi:-
“Aku nak ajar si kurang ajar,
Aku nak lepas si kain lepas;
Sebelum pagi menyingsing fajar,
Hilang nantera hilang nafas.”

Sukacita saya dengan izin, dengan rendah hati ingin menunjukkan caranya. Musuh yang diserang itu kalau sudah sampai ajalnya maka meninggallah dia. Kalau belum sampai ajalnya, tebarlah kain lepas pelangi itu sehingga tercabut bahu lengannya, si hidup musuhnya itu tidak akan terkena sebarang musibah.

Muka surat 259 buku Rupa & Gaya Busana Melayu menyatakan bahawa “Kali terakhir busana perkasawan punca potong Kelantan dipakai di hadapan khalayak ramai ialah pada tahun 1979 dalam Pementasan Busaneka di Universiti Malaya, di bawah tunjuk ajar Nik Abdul Rahman bin Nik Dir, bomoh DiRaja Kelantan.”

Apabila nanti Azah Aziz menerbitkan buku Rupa & Gaya Busana Melayu edisi kedua, beliau bolehlah mengubah ayat itu, dan mewartakan bahawa kali terakhir busana ini dipakai di hadapan khalayak ramai ialah pada 8 Februari 2007 (28 tahun kemudiannya), juga di Universiti Malaya oleh seorang Naib-Canselornya.

Demikianlah yang mampu saya bicarakan. Sesungguhnya buku ini adalah satu khazanah warisan yang tak ternilai harga dan mutunya. Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Puan Azah Aziz kerana menghadiahkan kita “Rupa dan Gaya Busana Melayu”, yang merupakan sebutir permata yang gilang gemilang. Saya ucapkan setinggi tahniah untuk beliau.

Puan Azah Aziz menutup tirai bukunya dengan kata “Jikalau kita memiliki sesuatu yang indah, halus, cemerlang, gilang gemilang dan murni dalam hidup ini, di manakah akan kita simpan segala khazanah tersayang itu supaya khazanah itu boleh selamat? Inilah serangkap pantun nasihat orang tua-tua zaman dahulu untuk kita hayati bersama:-

“Burung merpati kepak bersilang,
Turun ke bendang makan padi;
Simpan di peti takutkan hilang,
Baik disimpan di dalam hati.”

Sudah menjadi adat orang Melayu, setiap pantun yang dijual patut dibalas. Saya mohon untuk membalasnya:-

“Simpan di peti takutkan hilang,
Baik disimpan di dalam hati;
Simpan di hati perlakuan terbilang,
Baik peragakan barang sekali.”




Sekian terima kasih.

Assalamualaikum Warahmattullah.

Hashim Yaacob,
Kamar Senja,
Universiti Malaya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home