Maaf Yang Terucap
Lebih separuh abad usiaku
Kulihat teman melintas awan
lalu bergayut pada langit.
Aku hanya mendongak seketika.
Ada besi
memaku kakiku ke bumi.
Maafkan aku ayah
kalau lara hatimu kerana kekakuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
pembonceng basikalmu
tatkala kau muda remaja.
Sepertimana kau menyayangiku
aku sering mengingatimu
dengan kasih yang rindu.
Maafkan aku ibu
kalau duka hatimu kerana kebekuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
yang lena di pangkuanmu
tatkala kau muda jelita.
Sepertimana kau mengasihiku
aku doakan kau sejahtera
dengan sayang tiada tara.
Lebih separuh abad usiaku.
Kulihat teman meluncur ke depan
lalu berlabuh di hujung jalan.
Aku hanya memandang
ada batu
mengikat kakiku.
Maafkan aku isteri
kalau nestapa hatimu kerana kelambatanku.
Tetapi aku suamimu yang baik
bersama kita membawa bahagia
kalaupun dilanda petaka.
Anak-anak kita yang membesar
kita didik dengan sempurna kasih.
Orang tua kita yang ditelan usia
senang dengan kita.
Aku suamimu yang baik
sebaik si jejaka muda
yang tercuri hati kecilnya
oleh keayuan sopan bicaramu
tatkala masih belia.
Bagi aku yang kian tua
ayu dan sopanmu kekal di kalbu.
Tukar gantinya tetap tiada.
Tetapi kadang-kala walau bagaimana baik pun kita berkhidmat, masih ada juga orang yang tidak menyukai. Ada juga yang akan menimbulkan berbagai-bagai masalah. Kita seharusnya berdiri teguh untuk menghadapinya:
Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan
kuberi makan,
persalinan dan tilam untuk bermalam.
Bila reda hujan dia menghilang.
Ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.
4 Comments:
assalamualaikum,
Minta maaf sekiranya pertanyaan ini mungkin menyinggung perasaan penulis.. Saya adalah bekas pelajar Universiti Malaya beberapa tahun lepas. Saya agak musykil adakah benar ini blogspot Dato Hashim Yaacob? Jika ya, Syabas buat Dato! Jika tidak.. saya berasa kecewa dengan sikap penulis. Sekian.
Minta maaf, komen diatas adalah daripada saya.
Mohammad Fadzli Bin Saari
United Engineer (Malaysia) Berhad
Salam YB Dato,
Tahniah di atas kewujudan blog.
Sudah menjadi resam, kita tidak dapat memuaskan hati semua.
Ada yang suka, ada yang tidak.
Selagi kita punya niat yang betul dan tulus ikhlas, jangan gundah gulana. Allah tahu bagaimana mahu membalasnya..
Salam
Kepada Sdr Mohammad Fadzli Bin Saari, terima kasih atas kunjungan & komen. Ya, memang benar blog ini adalah kepunyaan Kapten Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob, The 8th VC of UM.
-webmaster-
Post a Comment
<< Home