Photobucket - Video and Image Hosting
We undertake to perform the Wayang Kulit (Puppet Shadow Play) & Seni Silat (Malay Martial Art) at any function & anywhere with prior arrangement. Language of performance: Malay or English. For enquires please contact: Task Global Sdn. Bhd (Miss Ili Hana 012 2222 676)
Free Web Layouts

Tuesday, August 15, 2006

Cerita Hang Tuah dan Sajak

Bagi mereka yang menjadi pemimpin, walau bagaimana sekecil sekalipun pemimpin itu, pemimpin itu mestilah berlaku adil sentiasa. Seseorang pemimpin tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas seseorang sekiranya beliau tidak menyiasat terlebih dahulu ke atas kebenaran cerita-cerita yang disampaikan kepadanya oleh mereka yang membuat aduan. Seorang pemimpin mestilah memanggil pihak pengadu dan yang terkena adu bersemuka dihadapannya sekiranya dia betul-betul mahu menjatuhkan hukuman dan berlaku adil. Kita sering dengar sebuah hadith yang antara lain bermaksud bahawa 2 daripada 3 orang hakim akan masuk neraka. Apakah ini kerana 2 daripada 3 orang hakim-hakim ini menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu? Pemimpin adalah termasuk dalam golongan tafsiran hakim yang dimaksudkan itu. Cuba kita hayati akan puisi Al-Humazah di bawah ini yang saya tujukan khas kepada pemimpin :

AL-HUMAZAH

MISImu universitiku, menaruh harapan
menuju peradaban
cemerlang ke tahap perdana
dengan iltizam
menabur jasa membina negara
Tapi tunjangnya
kau harus adil
menegak yang benar
menumpas yang batil

Kalau ada sengketa
kau dengar dulu kedua-duanya.
Kerana hasutan pihak pertama
jangan terus kau landa pihak kedua

Kau harus waspada
guna kuasa
Fikir dengan hati
jemuk dalam dada.
Buta hati mati
ganas rasa binasa

Hang Tuah

Bila bercakap tentang Hang Tuah, teringat saya akan bagaimana oleh kerana fitnah semata-mata, seorang Laksamana pembela bangsa yang setia kepada raja selama masa diperintahkan supaya dibunuh oleh tuannya sendiri. Hang Tuah menerima hukuman dengan segala rela hati tanpa sedikitpun bantahan. Maka Hang Jebat pun menuntut bela dan Melaka menjadi huru-hara. Raja Melaka menyesal menghukum Tuah supaya dibunuh. Tetapi apakan daya, tangan sudah mencincang. Walaupun seribu sesal Raja Melaka sesalkan, apa yang telah berlaku tetap berlaku. Fitnahlah yang menjadi punca keruntuhan.
Memikirkan hal Hang Tuah yang patuh mengikut kata ini sampai nyawanya pun digadaikannya, maka teringatlah saya pada paman saya, seorang Jawa yang setia pada tuannya :

YANG SETIA SAGORIWO

Pamanku Si Sagoriwo,
tubuhnya segar bogar.
Orang pandang mulia
sering diajak berbicara.

Pamanku Si Sagoriwo
orang taat setia
kerja raja dijunjung
kerja orang dikendung
kerja sendiri diheret.
Nanti bila kau tua
keledek tahi mata
tiada siapa akan sapa.

Siapakah wira kita, antara Hang Tuah dan Hang Jebat? Ada yang menyanjung Hang Tuah kerana kesetiaannya kepada raja Melaka. Ada yang menyanjung Hang Jebat kerana menunutut keadilan. Siapakah yang sebenarnya menderhaka? Si Jebat yang menderhaka kepada Raja Melaka atau Si Tuah yang menderhaka kepada persetiaan persaudaraannya terhadap Si Jebat? Siapa pula yang belot : Si Jebatkah yang belot kepada Raja Melaka atau Si Tuahkah yang belot kepada saudaranya Jebat? Pendirian kita pula bagaimana? Saya abadikan 2 buah puisi di bawah ini kepada mereka yang ingin memikirkannya. :

BICARA TENTANG TUAH DAN JEBAT

I

Kalian yang mengutuk Tuah,
kemari!
Kita berbicara.

Apalah ikhtiar Tuah:
Di kanan, hukum Raja berkuasa.
Di kiri, teman yang sudah derhaka.
Jebat tinggal seorang diri.
Kasturi, Lekir, Lekiu bukan sahabat lagi.
Di pinggang
menggeletek Pamong Sari Bukit Siguntang.

Kalau kalianlah Tuah, tertitah
membuang Jebat
apa bisa kalian buat?

Dari riak muka kalian
sudah tahu aku:

Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Kalian patuh pada tuan.
Jebat kan jadi habuan
di tangan kalian.

Usahlah Tuah kalian kutuk
kalau kalian sepertinya mengikut telunjuk.

II

Kalian yang menjulang Jebat
kemari!
Kita bicara.

Di kanan, Tuah mati ditikam.
Di kiri, Raja berlaku kejam.
Kasturi, Lekir, Lekiu tak ambil peduli.
Jebat, nekad dalam bara api
Mau dibayarnya budi.

Di pinggang
menggelepar keris Taming Sari.
Tiada gentar lagi Jebat pada mati.

Kalau kalianlah Jebat
bersugul kematian sahabat
apa bisa kalian buat?
Dari raut muka kalian
sudah tahu aku:
Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Takkan berani kalian melawan tuan.
Takkan ada pada kalian
semangat setiakawan pada yang
keseorangan.

Usah berpura menyanjung Jebat
Kalau yang kalian ucap, bukan yang terbuat


JEBAT YANG SETIA

Binalah kembali
menara gadingmu
yang hampir roboh
akibat buruk jaga
dengan Jebat hulubalang setia
pada kawan dan bangsa.

Berani mati ia
atas kebenaran.
Tapi taatnya ada batas.

Biarkan Jebat yang berkawal
pada segenap pintu menaramu
yang dua puluh itu
dengan keris
tersarung pada pinggang.

Usah kau curiga
pada setia si Jebat.
Hatinya takkan membara
jika tidak kau bakar.

Tidak derhaka ia
kalau tidak teraniaya

Laksamana Hang Tuah itu bagaimana orangnya? Apakah dia orang bertimbang rasa selain daripada sifatnya yang setia pada Raja Melaka. Saya tidak dapat memaafkan pahlawan Melayu yang gagah perkasa ini apabila beliau mempermainkan Tun Teja dengan janji palsu bahawa beliau mencintai Tun Teja. Teja yang masih muda belia pada masa itu terus terpedaya, lalu meninggalkan ayahanda, bonda dan seluruh keluarga melarikan diri mengikut Hang Tuah demi cinta. Tidak terlintas di hati Teja bahawa Hang Tuah yang dicintainya itu rupanya menipu dia. Hang Tuah ingin berjasa kepada Raja Melaka dengan melarikan Tun Teja untuk dikahwininya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana besarnya hadiah yang diberikan oleh Raja Melaka kepada Hang Tuah kerana berjasa sedemikian rupa. Ayahanda dan bonda Tun Teja ditimpa kesugulan yang amat sangat kerana kehilangan anakanda mereka. Tunang Tun Teja Megat Panji Alam mati dibunuh pahlawan Melaka. Saya tulis puisi dibawah ini mengenang Teja :

DI MAKAM TUN TEJA

I

Demi cintamu Teja
pada Si Tuah,
engkau berkorban apa saja
untuk hidup bersamanya.

Belumpun tiba di Melaka
Si Tuah menjampi sirih memutus cinta.
Katanya kau bukan untuknya
Semata dilarikan untuk Paduka.

Remuknya hatimu Teja tiada terhingga
Terkenang kasih yang tak ke mana.

Kerana jasanya pada Paduka
memperdaya kau dengan cinta
Tuahpun diangkat jadi Laksamana.
Tinggallah engkau Teja
tanpa rela berendam air mata
di istana Melaka bersuamikan Paduka

II

Semalam aku ke Merlimau ke makammu.
Dalam tafakkur keayuanAl-Fatihah
aku terbayang keayuaan wajah
keluhuran cintamu.

Kudoakan kau tidak keseorangan
walau jauh dari keluarga.

Bahagiakah engkau Teja
sewaktu hayatmu di istana,
atau masih kesalkah hatimu
merintih kasih
pada cinta yang tidak kesampaian?
Tuah kekasihmu itu, Teja
Walau dijulang zaman bagai wira,
Kuburnya entah di mana.

Mengenang nasibmu Teja
aku terus khuatir
tentang puteriku Ili.
Biarlah tiada Tuah menghampirinya
kalau manis hanya seketika
tapi cinta bertatahkan dusta.

Bolehkah kita bayangkan apa yang dilakukan oleh Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja apabila mendapati anaknya dilarikan oleh Hang Tuah? Saya cuba membayangkannya melalui puisi Sumpah Seri Buana :

SUMPAH SERI BUANA

Teja, Teja, Teja
kau pergi anakku
diperdaya cinta hulubalang perkasa
mengikut rasa membuang keluarga.
Istana riang kita ini
sudah menjadi tersangat sepi.
Pelita kamarmu tidak lagi menyala.
Mustika hatiku berderai jatuh
ke dalam gelora telaga
airmata bondamu.

Telah datang lagi Hang Tuah
bersama hulubalang Melaka
ke Inderapura
memalit Balairong Seri dengan darah.
Megat Panji Alam tunangmu, Teja
ditikam Si jebat dan Kasturi
dari belakang

Teja,
Hulubalang apakah sedemikian
menipu perempuan
mencuri tikam?

Teja anakku,
kita Bendahara Seri Buana
telah menyatu dengan derita.
Kita mahu mengajar Melaka.
Kita seru pada titih
titih tersungkur di telunjuk kita.
Kita jampi di daun sirih
sirih menimpa ke muka Laksamana.
Laksamana berkubur tanpa tanda.

Ini keris ganja iras
parungsari tujuh luknya,
asal ditempa besi melela tujuh bersaudara.
Lidah tiong titi tulang
tulang ditinting tujuh temuan.
Mata keris darah menyembur
tuntung keris padah celaka.
Keris sahabat pada yang setia
seteru pada yang derhaka.
Kita tikam di angin lalu
angin melanda Istana Melaka
Raja berkelana hilang takhta.

Tidak lama dahulu, saya pergi ke sebuah sekolah menengah di negara kita ini dan menyampaikan ceramah untuk memotivasikan murid-murid tingkatan 5 dan 6 supaya tekun belajar demi masa depan sendiri. Dalam ceramah motivasi itu, seorang cikgu (guru) bertanyakan murid-muridnya mengenai Hang Tuah. Saya simpulkan interaksi cikgu itu dengan beberapa orang muridnya dalam puisi Tuah Jebat dan Teja :

TUAH JEBAT DAN TEJA

Beritahu cikgu
siapa Hang Tuah?

"Pahlawan perkasa.
Perwira setia.
Pengasas Melayu tak hilang di dunia"

Beritahu cikgu
Apa jasa Hang Tuah?

"Menegakkan keadilan.
Merelakan segala untuk tuan.
Menipu perempuan
Membunuh kawan"

Beritahu cikgu
siapa ditipu Hang Tuah?

"Tun Teja.
Ditipu dengan cinta.
Dilarikan ke Melaka
dipaksa kahwin dengan raja"

Beritahu cikgu
Siapa dibunuh Hang Tuah?

"Jebat sahabat setia
Menderhaka.
Tuah menikam, Jebat mati dihujung senjata.
Sia-sia."

Beritahu cik..

"Tuah hidup berhambakan raja
mati ditangan raja.
Jebat hidup setia bersaudara
mati ditangan saudara.
Teja hidup mengelamun cinta
mati putus cinta.

Jiran saya ada seekor lembu
Tuah namanya.
Taatnya membajak sawah
hingga tua
Tahun lalu ia mati
disembelih tuannya"

Kasihan.

Walau apapun Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah pahlawan-pahlawan Melayu yang terbilang. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka sewaktu hayatnya mempunyai kepercayaan penuh kepada pahlawan-pahlawan ini sehingga Melaka menjadi makmur, aman dan sentosa. Walaupun ada Kerma Wijaya dan Raja Mendeliar yang sering menabur fitnah tetapi Tun Perak berjaya mematahkannya kerana Tun Perak adalah orang yang bijaksana. Tun Perak tidak termakan fitnah kerana Tun Perak mengamalkan prinsip untuk mendengar dahulu segala aduan, segala penerangan, dan segala yang perlu didengar daripada pihak-pihak yang bertelagah. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka tidak cepat melenting dan menghukum tidak tentu pasal. Mari kita bina negara kita ini dengan segala prinsip yang baik :

BINALAH KEMBALI MELAKAMU

Tun Perak Seri Maharaja,
binalah Melakamu
dengan setia Hang Tuah
bara Hang Jebat
sekata Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Kukuh itu puncanya setia
bara penghindar leka
sekata untuk mara.

Kalau datang Kerma Wijaya
membawa fitnah
datang Mendeliar
menghembur seranah,
Berbentenglah kau Tun Perak,
pada Tuah yang setia,
Jebat yang berbara,
Kasturi, Lekir, Lekiu yang sekata.

4 Comments:

Anonymous Anonymous said...

... sifat hang tuah yang di suka penguasa, yang setia membabi buta, buat tak pusing kepala dan di kuasa seenaknya. kalau ada hang jebat, dibunuh mati.

Tue Aug 15, 03:10:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Ramaikah Tuah, dulu dan sekarang? Cuma Tuah sekarang cepat selesa bertukar Tuan, bukan soal kebenaran tetapi keselesaan.

Tue Aug 15, 05:44:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

dari dulu lg,ketika masih menuntut di Universiti Malaya,sy mmg sukakan puisi Di Makam Tun Teja.pertama kali saya mendengarnya ialah pada pagi saya mendaftar di Pusat Asasi Sains, Dato' telah mendeklamasikannya di TV3.

Fri Feb 02, 01:54:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Teja memang wanita yg setia kerana cinta. Semua wanita di dunia ini, mudah setia dengan cinta emreka sehingga sanggup melangkau agama dan adat demi kerana cinta. Lelaki pula sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kepuasaan diri sendiri. pada pandangan saya, teja merupakan wanita melayu pertama yg sanggup melarikan diri dari keluarga demi untuk bersama lelaki yg sebenarnya mempergunakan dirinya utk kepuasan dan kepentingan diri sendiri. Adakah Teja dan Tuah blh diagungkan?

Sat Jun 28, 04:29:00 PM  

Post a Comment

<< Home