Photobucket - Video and Image Hosting
We undertake to perform the Wayang Kulit (Puppet Shadow Play) & Seni Silat (Malay Martial Art) at any function & anywhere with prior arrangement. Language of performance: Malay or English. For enquires please contact: Task Global Sdn. Bhd (Miss Ili Hana 012 2222 676)
Free Web Layouts

Thursday, August 31, 2006

Merdeka


Hari ini, 31 Ogos ulangtahun hari merdeka. Selama 49 tahun kita telah bebas daripada pemerintahan penjajah. Kita pun bersyukur.

Tetapi apakah kita sebenarnya telah bebas daripada perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan musibah pada diri sendiri, kepada sesama manusia dan kepada negara? Apakah rakyat kita sudah menjadi lebih baik dari segi akhlak masing-masing dan bersedia menuju ke hadapan supaya akhirnya di negara nenek moyang kita ini, kitalah yang akan menjadi tuan? Kalau kita semua dapat mendidik anak-anak supaya mereka menjadi orang yang berguna kerana tahu akan tanggungjawab masing-masing, maka kita akan menjadi orang merdeka yang akan dapat membuka langkah dan mendepa ke hadapan.

Di hari merdeka ini, bahagialah kita sekiranya anak-anak kita dapat kita didiki dengan sebaik sempurna. Saya tulis sebuah puisi untuk anak-anak yang akan mengambil alih daripada kita. Puisi ini mendoakan agar anak-anak akan menjadi orang yang mulia dan tahu akan tanggungjawab :

PESAN PAPA DAN MAMA

Pesan Papa pada Putera:
bernaunglah di bawah Maha Suci Pencipta,
jadilah kalian Sri Rama dan Laksamana:
tajam mata, terus telinga.
baik budi bahasa, tertib manis
tutur kata.
Di mana pun berada, orang tetap suka.

Jangan seperti Mah Babu Kenung dan Rawana :
juling mata, kelulut di telinga.
buruk budi bicara, kesat ucap kata.
Di mana pun berada, orang jadi merana.

Pesan Mama pada Puteri:
Berpayunglah di bawah Pencipta Maha Suci.
Jadilah kau Siti Dewi:
halus pekerti, rendah hati,
pandai jaga diri
suci bak puteri dewi.

Di mana pun berada, orang tetap sudi.

Anakku-anakku,
ini pesan mama,
ini pesan papa,
jangan lupa sampai bila-bila.

Di hari merdeka ini, saya teringat pada kata-kata Datuk Laksamana Hang Tuah "Takkan Melayu Hilang di Dunia". Betulkah kata-kata ini atau ianya sekadar Hang Tuah ingin memberi pesan kepada keturunannya supaya jangan leka kalau ingin terus berkuasa. Hang Tuah itu orang yang perkasa lagi bijaksana, dan kita mesti bijak mentafsir kata-katanya dan jangan hanya sekadar mengambil bulat-bulat kata-kata hikmatnya itu sebagai azimat. Lihatlah di sekeliling kita, apakah kata-kata Datuk Laksamana Hang Tuah ini harus kembali kita memeriksanya?

Saya ingin melihat pada kata-kata Hang Tuah itu sebegini :

TAK MELAYU HILANG DI DUNIA

Dalam gema laung Laksamana Tun Tuah
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA,
kita sangkut pada leher kata hikmatnya
bagaikan tangkal keramat.
Dibuai jaminan lalu kita terus terlena.
Dalam tidur, rupanya musuh merapi diri
dengan senjata api. Corongnya terhala
pada kita yang dilamun mimpi.

Dalam pikuk kokok ayam
waktu dinihari, kita pun terbangun
melihat kota dikepung.
Keris lembing entah di mana, kita pun tempiar
lari, ke Johor, Pahang, Perak ke mana saja.
Melaka pun jatuh ke tangan pendatang.
Melayu hilang ketuanan.

Aku lihat katamu itu Laksamana
bukan sebagai jaminan,
tapi bagai satu bimbang rasa sendirimu
yang zahir pada mata
sirat pada hati
kerana sikap kurang sungguh anak
bangsamu.

Ke hari ini walau dalam jaga
kita sering ngantuk.
Pada leher sebilang kita masih tersangkut
tangkal keramat konon pelindung
kesinambungan bangsa.
Kini kita mestilah segera bangun
berkeriskan ilmu
berlembingkan tekad.

Wednesday, August 30, 2006

Memimpin Melalui Teladan

Saya percaya dan yakin dengan prinsip pimpinan melalui teladan. Kalau seseorang pemimpin ingin supaya anak buahnya mencapai sesuatu kejayaan maka dia sendiri hendaklah terlebih dahulu mencapainya. Selama berkhidmat di Universiti Malaya, saya berusaha untuk menghidupkan prinsip ini. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Pada 18 Julai hingga 20 Julai 2006 baru-baru ini, Universiti Malaya telah mengadakan satu pameran dan pertandingan bertemakan “Inovasi, Rekacipta dan Penyelidikan” di kampus Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kumpulan saya yang terdiri daripada Prof. Kim, Prof. Sri Nurestri, Puan Chia telah memenangi pingat perak di pertandingan itu kerana telah mencipta minuman teh daripada akar sireh yang mempunyai potensi untuk melawan hipertensi.
Gambar Pemenang pingat perak di pertandingan
“Inovasi, Rekacipta dan Penyelidikan 2006”
dari kiri Sri Nurestri, Hashim Yaacob, Kim dan VC U.M Datuk Rafiah Salim

Kumpulan saya juga telah memenangi pingat perak di pertandingan ini di atas penyelidikan kami yang membabitkan Diospyrosa lotus bercampur madu lebah dalam penyembuhan luka. Kumpulan ini tediri daripada Dr. Koshy Philip dan Dr. Mahmood.
Gambar Pemenang pingat perak di pertandingan
“Inovasi, Rekacipta dan Penyelidikan 2006”
dari kiri Hashim Yaacob, Koshy Philip dan VC U.M Datuk Rafiah Salim

Kami merasa bangga dapat menerima pingat-pingat ini dari Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Rafiah Salim.

Monday, August 28, 2006

Kematian

Dulu saya ada seorang kawan yang sangat akrab. Seperti saya, dia juga anak penoreh getah. Saya mula mengenalinya pada usia 10 tahun apabila kita mula bersekolah di darjah Special Malay 1 di Sekolah Rendah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai Kelantan. Kami belajar di Kuala Krai sehinggalah sampai tingkatan 5 Sains di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Pada waktu cuti kami kadangkala tinggal bersama untuk belajar bagi menghadapi peperiksaan tingkatan 5. Kawan saya namanya Zulkifli bin Abdul Rahman. Beliau cukup handal dalam ilmu matematik tetapi tidak begitu dalam ilmu bahasa. Beliau seorang yang kelakar juga orangnya dan apabila bersendirian terutamanya sewaktu hujan turun, beliau akan menyanyikan lagu-lagu yang tidak pernah kita dengari kerana lagu-lagu itu dikarangnya sendiri. Saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah memahami makna lagu-lagunya itu. Saya rasa beliau sendiripun tidak mengetahuinya. Umpamanya satu lagu yang sering dinyanyikannya sewaktu dia rehat-rehat di katilnya selepas penat membaca buku :

Cak twing dah ding dah paking
Kok cak leping leping
Ok Aloh la.

Tetapi walau apapun maksudnya, lagu yang tersebut di atas itu adalah lagu yang mendayu-dayu. Saya kira lagu ini barangkali satu luahan rasanya memikirkan tentang apakah nasib dan kesudahan kami anak-anak Melayu yang datang dari ceruk dan rantau, yang tiada harta dan kurang maya setelah meninggalkan bangku sekolah. Saya dan Zulkifli sepanjang persekolahan kami berjanji untuk bersetia sebagai sahabat. Dia pernah berkata kepada saya "kalau kamu rebah di kanan, aku rebah di kiri". Beberapa kali beliau mengotakan kata-katanya ini apabila beliau melindungi saya daripada berbagai ancaman yang tiba sewaktu kita berdua masih muda belia dan setelah dewasa.

Tetapi Zulkifli sudah tiada lagi di dunia yang fana ini. Beliau telah pulang ke dunia yang kekal abadi pada usianya yang ke-40 pada tahun 1989. Pada tahun itu saya telah menulis sebuah puisi untuk beliau. Hari ini saya terkenangkannya, maka saya turunkan puisi yang saya tulis pada hari berpulang :-

SELAMAT JALAN TEMAN

Di suatu petang gerimis di Lumut, sampailah
berita kau telah berpulang. Semuda usia
empat puluh kau telah tiada, meninggalkan
isteri mendakap lima putera-puterimu dengan linang
air duka dari mata, yang masih belum
terpuas dahaga kasih mesra.

Di rumah ibu, tubuhmu terbaring kaku.
Di bawah selubung kain putih sehelai, wajahmu
setenang awan pagi,
sejernih air telaga di depan rumah,
sesejuk embun paginya di daun keladi.
Ku kira kau pergi
dengan sedia dan rela.

Ku iring kau ke tempat semadi
di perkuburan Panglima Bayu
daerah bermain kau sedari kecil.
Selamat jalan teman, ku doakan
kau damai di samping tuhanmu.

Masih jelas dalam ingatan, tiga abad dulu
kita sama membimbit beras, dan ikan
kering, pada umur hanya lebih seabad
ke atas keretapi Kuala Krai, bersekolah
di Special Malay Class.
Engkau sering mengajarku ilmu hisab, yang
hingga kinipun aku tidak mampu menguasai.
Begitulah juga Kamaruddin Kuba, Shee Kandar
dan kawan sedaerahmu Derih.

Kita pun mara ke sekolah menengah Yahya Petra,
berjumpa Husin Merah, Che@Lah Cacing,
Wan Mamat Layo, Yi Kedok, dan
Mat Ail Ulat Kekek lalu berkawan.
Dalam gerun kita saksi si Cacing dibaham
arus letrik, hampir mati ia di asrama.

Setiap malam sebelum tidur
pasti kau dendangkan sebuah lagu,
asli karanganmu sendiri, yang
hingga kini masih segar dalam ingatan
teman-temanmu yang masih ada:

Cak twing dah ding dah paking
kok cak leping leping
Ok Aloh la.

Masih ingatkah kau di satu hari
sewaktu mandi di Sungai Kelantan, aku
yang tidak tahu berenang terhumban
ke dalam tubir lalu lemas? Kau secepat
kilas menyambar rambutku menarik ke tebing
mengalahkan maut.

Sepeninggalanmu
aku kini sudah tahu berenang
tidak ku takut lagi pada sungai.

Akhirnya tamat juga dunia persekolahan
dan kitapun berpisah, engkau
ke Wales aku ke Te Aroa, sama mengejar
cita penegak keluarga dan bangsa.
Sekembali, kita pun menjadi pendidik
di Kuala Lumpur, jelang sudah
hampir dua abad. Muridmu dan muridku
sudah bertaburan
di segenap pelusuk tanahair.
Kitapun menoleh kebelakang
dengan rasa
yang amat puas

Dua tahun kini berlalu
kau meninggalkan kami Zul,
ku doakan kau semakin sejahtera.
Sinar baru sudahpun menerangi hidup
balumu, ku lihat putera puterimu
semuanya riang dalam suasana bahagia.
Ibumu yang semakin tua
segar tubuhnya, tawakkal dan
ibadahnya serupa sekala juga.
Ku kira kau tidak perlu lagi bimbang
pada mereka yang kau tinggal.

Kau tunggu sajalah Zul
jika rindu hatimu, di pintu
Taman Firdausi
bila tiba masanya nanti.

Thursday, August 24, 2006

Menuntut Ilmu Sampai Ke China

Menuntut ilmu adalah wajib ke atas semua manusia. Melalui ilmu kehidupan manusia di dunia akhirat akan menjadi lebih sempurna.
Dalam Surah Al- Mujadalah 58 : 11, Allah S.W.T berfirman mengenai peningkatan darjat orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan berbanding yang tidak mempunyainya. Banyaklah lagi firman-firman Allah S.W.T yang menyuruh kita menuntut ilmu setinggi-tingginya. Saya akan bentangkan sejumlah daripadanya pada halaman-halaman berikutan.
Sepotong hadith dari Al-Baihaki ada juga menyebut tentang betapa pentingnya untuk kita menuntut ilmu. Antara lain hadith menyatakan bahawa “tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.”

Menandatangai perjanjian persefahaman dengan Presiden Universiti Xiamen

Menandatangani perjanjian persefahaman dengan Presiden Universiti Fudang

Menandatangani perjanjian persefahaman dengan Presiden Universiti Peking

Bersiar-siar di dalam kampus yang nyaman bersama Presiden Universiti Peking

Sewaktu saya menjadi Naib Canselor pada tahun 2005, saya telah pun pergi ke China untuk menuntut ilmu dan juga membuat jalinan perkongsian ilmu dengan empat buah universiti yang terbilang dan tersohor di negara itu iaitu Universiti Peking di Beijing, Universiti Fudang di Shanghai dan Universiti Xiamen di Xiamen dan Beijing Foreign Universiti di Beijing. Saya telah pergi bagi pihak Universiti Malaya bagi menandatangani satu memorandum persefahaman dengan mereka ini dengan harapan supaya cerdik pandai dari universiti ini mengambil kesempatan mengembang ilmu dengan universiti-universiti ini.

Tuesday, August 15, 2006

Cerita Hang Tuah dan Sajak

Bagi mereka yang menjadi pemimpin, walau bagaimana sekecil sekalipun pemimpin itu, pemimpin itu mestilah berlaku adil sentiasa. Seseorang pemimpin tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas seseorang sekiranya beliau tidak menyiasat terlebih dahulu ke atas kebenaran cerita-cerita yang disampaikan kepadanya oleh mereka yang membuat aduan. Seorang pemimpin mestilah memanggil pihak pengadu dan yang terkena adu bersemuka dihadapannya sekiranya dia betul-betul mahu menjatuhkan hukuman dan berlaku adil. Kita sering dengar sebuah hadith yang antara lain bermaksud bahawa 2 daripada 3 orang hakim akan masuk neraka. Apakah ini kerana 2 daripada 3 orang hakim-hakim ini menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu? Pemimpin adalah termasuk dalam golongan tafsiran hakim yang dimaksudkan itu. Cuba kita hayati akan puisi Al-Humazah di bawah ini yang saya tujukan khas kepada pemimpin :

AL-HUMAZAH

MISImu universitiku, menaruh harapan
menuju peradaban
cemerlang ke tahap perdana
dengan iltizam
menabur jasa membina negara
Tapi tunjangnya
kau harus adil
menegak yang benar
menumpas yang batil

Kalau ada sengketa
kau dengar dulu kedua-duanya.
Kerana hasutan pihak pertama
jangan terus kau landa pihak kedua

Kau harus waspada
guna kuasa
Fikir dengan hati
jemuk dalam dada.
Buta hati mati
ganas rasa binasa

Hang Tuah

Bila bercakap tentang Hang Tuah, teringat saya akan bagaimana oleh kerana fitnah semata-mata, seorang Laksamana pembela bangsa yang setia kepada raja selama masa diperintahkan supaya dibunuh oleh tuannya sendiri. Hang Tuah menerima hukuman dengan segala rela hati tanpa sedikitpun bantahan. Maka Hang Jebat pun menuntut bela dan Melaka menjadi huru-hara. Raja Melaka menyesal menghukum Tuah supaya dibunuh. Tetapi apakan daya, tangan sudah mencincang. Walaupun seribu sesal Raja Melaka sesalkan, apa yang telah berlaku tetap berlaku. Fitnahlah yang menjadi punca keruntuhan.
Memikirkan hal Hang Tuah yang patuh mengikut kata ini sampai nyawanya pun digadaikannya, maka teringatlah saya pada paman saya, seorang Jawa yang setia pada tuannya :

YANG SETIA SAGORIWO

Pamanku Si Sagoriwo,
tubuhnya segar bogar.
Orang pandang mulia
sering diajak berbicara.

Pamanku Si Sagoriwo
orang taat setia
kerja raja dijunjung
kerja orang dikendung
kerja sendiri diheret.
Nanti bila kau tua
keledek tahi mata
tiada siapa akan sapa.

Siapakah wira kita, antara Hang Tuah dan Hang Jebat? Ada yang menyanjung Hang Tuah kerana kesetiaannya kepada raja Melaka. Ada yang menyanjung Hang Jebat kerana menunutut keadilan. Siapakah yang sebenarnya menderhaka? Si Jebat yang menderhaka kepada Raja Melaka atau Si Tuah yang menderhaka kepada persetiaan persaudaraannya terhadap Si Jebat? Siapa pula yang belot : Si Jebatkah yang belot kepada Raja Melaka atau Si Tuahkah yang belot kepada saudaranya Jebat? Pendirian kita pula bagaimana? Saya abadikan 2 buah puisi di bawah ini kepada mereka yang ingin memikirkannya. :

BICARA TENTANG TUAH DAN JEBAT

I

Kalian yang mengutuk Tuah,
kemari!
Kita berbicara.

Apalah ikhtiar Tuah:
Di kanan, hukum Raja berkuasa.
Di kiri, teman yang sudah derhaka.
Jebat tinggal seorang diri.
Kasturi, Lekir, Lekiu bukan sahabat lagi.
Di pinggang
menggeletek Pamong Sari Bukit Siguntang.

Kalau kalianlah Tuah, tertitah
membuang Jebat
apa bisa kalian buat?

Dari riak muka kalian
sudah tahu aku:

Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Kalian patuh pada tuan.
Jebat kan jadi habuan
di tangan kalian.

Usahlah Tuah kalian kutuk
kalau kalian sepertinya mengikut telunjuk.

II

Kalian yang menjulang Jebat
kemari!
Kita bicara.

Di kanan, Tuah mati ditikam.
Di kiri, Raja berlaku kejam.
Kasturi, Lekir, Lekiu tak ambil peduli.
Jebat, nekad dalam bara api
Mau dibayarnya budi.

Di pinggang
menggelepar keris Taming Sari.
Tiada gentar lagi Jebat pada mati.

Kalau kalianlah Jebat
bersugul kematian sahabat
apa bisa kalian buat?
Dari raut muka kalian
sudah tahu aku:
Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Takkan berani kalian melawan tuan.
Takkan ada pada kalian
semangat setiakawan pada yang
keseorangan.

Usah berpura menyanjung Jebat
Kalau yang kalian ucap, bukan yang terbuat


JEBAT YANG SETIA

Binalah kembali
menara gadingmu
yang hampir roboh
akibat buruk jaga
dengan Jebat hulubalang setia
pada kawan dan bangsa.

Berani mati ia
atas kebenaran.
Tapi taatnya ada batas.

Biarkan Jebat yang berkawal
pada segenap pintu menaramu
yang dua puluh itu
dengan keris
tersarung pada pinggang.

Usah kau curiga
pada setia si Jebat.
Hatinya takkan membara
jika tidak kau bakar.

Tidak derhaka ia
kalau tidak teraniaya

Laksamana Hang Tuah itu bagaimana orangnya? Apakah dia orang bertimbang rasa selain daripada sifatnya yang setia pada Raja Melaka. Saya tidak dapat memaafkan pahlawan Melayu yang gagah perkasa ini apabila beliau mempermainkan Tun Teja dengan janji palsu bahawa beliau mencintai Tun Teja. Teja yang masih muda belia pada masa itu terus terpedaya, lalu meninggalkan ayahanda, bonda dan seluruh keluarga melarikan diri mengikut Hang Tuah demi cinta. Tidak terlintas di hati Teja bahawa Hang Tuah yang dicintainya itu rupanya menipu dia. Hang Tuah ingin berjasa kepada Raja Melaka dengan melarikan Tun Teja untuk dikahwininya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana besarnya hadiah yang diberikan oleh Raja Melaka kepada Hang Tuah kerana berjasa sedemikian rupa. Ayahanda dan bonda Tun Teja ditimpa kesugulan yang amat sangat kerana kehilangan anakanda mereka. Tunang Tun Teja Megat Panji Alam mati dibunuh pahlawan Melaka. Saya tulis puisi dibawah ini mengenang Teja :

DI MAKAM TUN TEJA

I

Demi cintamu Teja
pada Si Tuah,
engkau berkorban apa saja
untuk hidup bersamanya.

Belumpun tiba di Melaka
Si Tuah menjampi sirih memutus cinta.
Katanya kau bukan untuknya
Semata dilarikan untuk Paduka.

Remuknya hatimu Teja tiada terhingga
Terkenang kasih yang tak ke mana.

Kerana jasanya pada Paduka
memperdaya kau dengan cinta
Tuahpun diangkat jadi Laksamana.
Tinggallah engkau Teja
tanpa rela berendam air mata
di istana Melaka bersuamikan Paduka

II

Semalam aku ke Merlimau ke makammu.
Dalam tafakkur keayuanAl-Fatihah
aku terbayang keayuaan wajah
keluhuran cintamu.

Kudoakan kau tidak keseorangan
walau jauh dari keluarga.

Bahagiakah engkau Teja
sewaktu hayatmu di istana,
atau masih kesalkah hatimu
merintih kasih
pada cinta yang tidak kesampaian?
Tuah kekasihmu itu, Teja
Walau dijulang zaman bagai wira,
Kuburnya entah di mana.

Mengenang nasibmu Teja
aku terus khuatir
tentang puteriku Ili.
Biarlah tiada Tuah menghampirinya
kalau manis hanya seketika
tapi cinta bertatahkan dusta.

Bolehkah kita bayangkan apa yang dilakukan oleh Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja apabila mendapati anaknya dilarikan oleh Hang Tuah? Saya cuba membayangkannya melalui puisi Sumpah Seri Buana :

SUMPAH SERI BUANA

Teja, Teja, Teja
kau pergi anakku
diperdaya cinta hulubalang perkasa
mengikut rasa membuang keluarga.
Istana riang kita ini
sudah menjadi tersangat sepi.
Pelita kamarmu tidak lagi menyala.
Mustika hatiku berderai jatuh
ke dalam gelora telaga
airmata bondamu.

Telah datang lagi Hang Tuah
bersama hulubalang Melaka
ke Inderapura
memalit Balairong Seri dengan darah.
Megat Panji Alam tunangmu, Teja
ditikam Si jebat dan Kasturi
dari belakang

Teja,
Hulubalang apakah sedemikian
menipu perempuan
mencuri tikam?

Teja anakku,
kita Bendahara Seri Buana
telah menyatu dengan derita.
Kita mahu mengajar Melaka.
Kita seru pada titih
titih tersungkur di telunjuk kita.
Kita jampi di daun sirih
sirih menimpa ke muka Laksamana.
Laksamana berkubur tanpa tanda.

Ini keris ganja iras
parungsari tujuh luknya,
asal ditempa besi melela tujuh bersaudara.
Lidah tiong titi tulang
tulang ditinting tujuh temuan.
Mata keris darah menyembur
tuntung keris padah celaka.
Keris sahabat pada yang setia
seteru pada yang derhaka.
Kita tikam di angin lalu
angin melanda Istana Melaka
Raja berkelana hilang takhta.

Tidak lama dahulu, saya pergi ke sebuah sekolah menengah di negara kita ini dan menyampaikan ceramah untuk memotivasikan murid-murid tingkatan 5 dan 6 supaya tekun belajar demi masa depan sendiri. Dalam ceramah motivasi itu, seorang cikgu (guru) bertanyakan murid-muridnya mengenai Hang Tuah. Saya simpulkan interaksi cikgu itu dengan beberapa orang muridnya dalam puisi Tuah Jebat dan Teja :

TUAH JEBAT DAN TEJA

Beritahu cikgu
siapa Hang Tuah?

"Pahlawan perkasa.
Perwira setia.
Pengasas Melayu tak hilang di dunia"

Beritahu cikgu
Apa jasa Hang Tuah?

"Menegakkan keadilan.
Merelakan segala untuk tuan.
Menipu perempuan
Membunuh kawan"

Beritahu cikgu
siapa ditipu Hang Tuah?

"Tun Teja.
Ditipu dengan cinta.
Dilarikan ke Melaka
dipaksa kahwin dengan raja"

Beritahu cikgu
Siapa dibunuh Hang Tuah?

"Jebat sahabat setia
Menderhaka.
Tuah menikam, Jebat mati dihujung senjata.
Sia-sia."

Beritahu cik..

"Tuah hidup berhambakan raja
mati ditangan raja.
Jebat hidup setia bersaudara
mati ditangan saudara.
Teja hidup mengelamun cinta
mati putus cinta.

Jiran saya ada seekor lembu
Tuah namanya.
Taatnya membajak sawah
hingga tua
Tahun lalu ia mati
disembelih tuannya"

Kasihan.

Walau apapun Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah pahlawan-pahlawan Melayu yang terbilang. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka sewaktu hayatnya mempunyai kepercayaan penuh kepada pahlawan-pahlawan ini sehingga Melaka menjadi makmur, aman dan sentosa. Walaupun ada Kerma Wijaya dan Raja Mendeliar yang sering menabur fitnah tetapi Tun Perak berjaya mematahkannya kerana Tun Perak adalah orang yang bijaksana. Tun Perak tidak termakan fitnah kerana Tun Perak mengamalkan prinsip untuk mendengar dahulu segala aduan, segala penerangan, dan segala yang perlu didengar daripada pihak-pihak yang bertelagah. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka tidak cepat melenting dan menghukum tidak tentu pasal. Mari kita bina negara kita ini dengan segala prinsip yang baik :

BINALAH KEMBALI MELAKAMU

Tun Perak Seri Maharaja,
binalah Melakamu
dengan setia Hang Tuah
bara Hang Jebat
sekata Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Kukuh itu puncanya setia
bara penghindar leka
sekata untuk mara.

Kalau datang Kerma Wijaya
membawa fitnah
datang Mendeliar
menghembur seranah,
Berbentenglah kau Tun Perak,
pada Tuah yang setia,
Jebat yang berbara,
Kasturi, Lekir, Lekiu yang sekata.

Monday, August 14, 2006

Dosa Pemfitnah

Rupanya ada lagi antara kita yang menaburkan fitnah. Kita ini orang Islam, kuat beramal dan beribadat kerana inginkan pahala dan takutkan dosa. Tetapi ada juga yang tidak endahkan tentang betapa besarnya dosa menyebar fitnah. Cubalah halusi Firman-Firman Allah dan hadith-hadith di bawah ini mengenai dosa memfitnah orang. Semoga mendapat pengajaran:-

Mengumpat

Al-Humazah : 1
"Celakalah mereka yang mengumpat dan memfitnah"
Fitnah
An-Nur : 19
"Orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar dikalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Allah mengetahuinya, sedang kamu tidak mengetahui."

Fitnah
Al-Isra'a : 36
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawabnya tentangnya."

Fitnah
Al-Baqarah : 191
"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan"

Fitnah
An-Nur : 23-24
Mereka yang memfitnah perempuan suci, celakalah di dunia dan akhirat; bagi mereka hukuman yang dahsyat dihari pengadilan; lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi diatas perbuatan mereka.
Al-Buruj : 10
Orang yang memfitnah orang mukmim, kemudian tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar.

Khutbah Rasul Allah di Mekah
23 / 2 / 632
"Menyebut 15 aspek sosial. Satunya : Jangan Memfitnah."

Dari Imam Ghazali
"Mengumpat itu dosanya sama dengan berzina 30 kali."

Dari Imam Al-Mawardi
"Orang yang biasa mengumpat, isi batinnya kotor"

Dari R. Muslim
"Seseorang yang menutup cela seseorang yang lain didunia, akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat."

Daripada Abu Huraira, Termidzi:
"Sesiapa yang duduk didalam perhimpunan yang tidak baik hendaklah membaca doa (memuji Allah dan meminta ampun darinya) sebelum berundur diri"

Daripada Al-Nabari:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah S.W.T dan Hari Akhirat maka hendaklah ia mengucapkan perkara-perkara yang baik atau diam"

Daripada Al-Nabari:
"Wahai Rasul Allah S.A.W, manakah orang Islam yang paling baik? Rasul Allah S.A.W menjawab : Ialah yang mana orang Islam lain terselamat dari gangguan lidah dan tangannya"

Cakap benar
Pepatah arab:
"Wa ma a'layna illal balagh"
---->>>Tiada beban bagi kita melain untuk bercakap benar.

Ihsan
Al- Maidah : 1
Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah janjimu.

Pembohong
Al-Imran:
Akhirnya kami jadikan laknat Allah atas orang-orang pembohong.

As-Shaf : 2-3
Hai orang beriman, mengapa engkau ucapkan apa yang tidak engkau lakukan? Besar dosanya disisi Allah jika engkau mengucapkan apa-apa tetapi tidak engkau lakukan.

Wednesday, August 09, 2006

Maaf Yang Terucap

Kadang-kala saya terasa saya tidak dapat memuaskan hati segolongan orang di dalam usaha saya memberi perkhidmatan yang diwajibkan ke atas saya. Saya mohon maaf di atas kelemahan yang mungkin telah terjadi. Saya abadikan puisi ini kepada yang tercatit;

Lebih separuh abad usiaku
Kulihat teman melintas awan
lalu bergayut pada langit.
Aku hanya mendongak seketika.
Ada besi
memaku kakiku ke bumi.

Maafkan aku ayah
kalau lara hatimu kerana kekakuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
pembonceng basikalmu
tatkala kau muda remaja.
Sepertimana kau menyayangiku
aku sering mengingatimu
dengan kasih yang rindu.

Maafkan aku ibu
kalau duka hatimu kerana kebekuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
yang lena di pangkuanmu
tatkala kau muda jelita.
Sepertimana kau mengasihiku
aku doakan kau sejahtera
dengan sayang tiada tara.

Lebih separuh abad usiaku.
Kulihat teman meluncur ke depan
lalu berlabuh di hujung jalan.
Aku hanya memandang
ada batu
mengikat kakiku.

Maafkan aku isteri
kalau nestapa hatimu kerana kelambatanku.
Tetapi aku suamimu yang baik
bersama kita membawa bahagia
kalaupun dilanda petaka.
Anak-anak kita yang membesar
kita didik dengan sempurna kasih.
Orang tua kita yang ditelan usia
senang dengan kita.
Aku suamimu yang baik
sebaik si jejaka muda
yang tercuri hati kecilnya
oleh keayuan sopan bicaramu
tatkala masih belia.

Bagi aku yang kian tua
ayu dan sopanmu kekal di kalbu.
Tukar gantinya tetap tiada.

Tetapi kadang-kala walau bagaimana baik pun kita berkhidmat, masih ada juga orang yang tidak menyukai. Ada juga yang akan menimbulkan berbagai-bagai masalah. Kita seharusnya berdiri teguh untuk menghadapinya:

Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan
kuberi makan,
persalinan dan tilam untuk bermalam.

Bila reda hujan dia menghilang.
Ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.